Wednesday, March 16, 2011

Rasa-rasa ok x kalau pn mama buat mcm depa2 nie...

sumber: sinar harian 16 mac 2011( edisi Utara)
http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story8871492.asp
KANGAR – Kira-kira 40 pekerja di sebuah hotel di sini, mengadakan mogok secara aman menuntut majikan mereka menjelaskan bayaran gaji dan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengikut jadual.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Beni Mat, 41, berkata, sepatutnya pekerja menerima bayaran gaji untuk Februari sebelum 7 Mac tetapi sehingga kini majikan belum menjelaskan bayaran itu.

Menurutnya, ada antara pekerja terpaksa berhutang untuk menjelaskan pelbagai bayaran ansuran termasuk sewa rumah, kereta, pinjaman bank dan wang persekolahan anak-anak berikutan kelewatan majikan menjelaskan bayaran gaji mengikut jadual.

“Setakat ini, kira-kira 15 pekerja mengambil keputusan meletak jawatan selepas tidak tahan dengan kerenah majikan yang melewat-lewatkan pembayaran gaji.

“Seorang lagi rakan saya, sudah tiada kenderaan selepas kenderaannya ditarik institusi kewangan kerana gagal menjelaskan ansuran bulanan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan mogok di hadapan hotel berkenaan di sini, semalam.

Mogok yang berlangsung selama lebih kurang sejam itu berakhir selepas pihak majikan berjanji akan menjelaskan semua tunggakan bayaran gaji selewat-lewatnya petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri Negeri, Syed Razlan Syed Putra Jamalullail turut hadir untuk menyelesaikan masalah pekerja berkenaan dengan mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama pihak pengurusanhotel.

Beni berkata, pihaknya mendesak supaya Kerajaan Negeri segera menukar pengurusan pentadbiran hotel sekarang kepada pengurusan baru bagi mengelak timbul masalah sedemikian.

“Kami sebelum ini tidak menghadapi masalah sebegini apabila hotel dikendalikan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) tetapi sejak pertukaran pengurusan baru bermula Mac tahun lalu, pelbagai masalah timbul.

“Paling menyedihkan, pihak pentadbiran gagal membuat caruman sejak setahun lalu kepada KWSP sedangkan setiap pekerja membuat potongan setiap bulan. Masalah yang sama berlaku pada caruman Perkeso,” katanya.

Selain itu, katanya, pekerja terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menyediakan pakaian seragam hotel termasuk baju, kasut dan seluar kerana majikan tidak mampu menyediakan peralatan terbabit.

Sementara itu, Roslan Abd Karim berkata, pihaknya berjanji untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji berjumlah RM100,000 kepada semua kira-kira 128 pekerja selewat-lewatnya petang ini (semalam).

“Kami mengakui menghadapi masalah kewangan kerana terpaksa menanggung kos pembaikan hotel yang tinggi dan masalah kadar penginapan yang rendah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Bagaimanapun, kami akan cuba melakukan yang terbaik kepada pekerja dan berusaha menarik balik keyakinan mereka kepada pihak pengurusan.

“Pihak pentadbiran sudah menjelaskan separuh bayaran gaji untuk Februari dan baki tunggakan hanya membabitkan setengah bulan terakhir Februari lalu” katanya.

Beliau berkata, pihaknya membelanjakan RM3 juta untuk membaik pulih 50 peratus bilik untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...